Monday, April 9, 2012

Zed Zaidi Tak Puas Hati Kemenangan Aaron Aziz!

 

Wow nampaknya tak sampai 24 jam pelakon warga Singapura, Aaron Aziz menang dua trofi di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 semalam, dah ada ‘bunyi’ orang yang tak berpuas hati dengan kejayaannya.

Paling lantang adalah Timbalan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sendiri, Zed Zaidi.

Zed meluahkan perasaannya itu dalam laman twitternya.

Namun yang tak sedapnya itu, Zed juga seolah-olah ‘menyindir’ rakyat Malaysia yang memberi kemenangan pada Aaron.

Bagi penulis, adalah tidak salah mempunyai semangat patriotik tetapi tak perlulah sampai cakap macam tu sekali.

Kita manusia ini mempunyai pelbagai citarasa…andaikata Zed minat makan capati, itu tidak bermakna Zed mengagungkan negara India atau Pakistan.

Dalam hal ini, kalau rakyat Malaysia memilih Aaron, itu tidak bermakna mereka tidak patriotik atau lebih mengagungkan artis luar.

Sepatutnya Zed kena ambil positif kemenangan Aaron dengan menjadikannya cabaran untuk berusaha dengan lebih gigih agar dapat menyaingi pelakon tersebut.

Dalam konteks SENIMAN sendiri, umpamanya, Zed kena berusaha bersungguh-sungguh menjadikan persatuan itu lebih mantap dan membimbing ahli-ahlinya agar mereka mampu 10 kali atau kalau boleh beratus-ratus kali lebih bagus dari Aaron.

Penulis percaya, bukan semua yang mengundi Aaron berbuat demikian kerana rupa parasnya, tetapi ia disebabkan kemampuan pelakon itu dalam menghasilkan mutu lakonan yang membanggakan.

Dalam hal ini, penulis yakin akan muncul lebih ramai pelakon tempatan yang berbakat besar, lebih hebat daripada Aaron sendiri kerana sejarah telah membuktikan kita tak pernah ketandusan golongan sebegini.

Aaron pun bukannya pelakon ‘payung terjun’, dia pun bermula daripada bawah sebelum dikenali seperti sekarang.

Sebenarnya, penulis risau juga dengan Zed ini…nampaknya sejak akhir-akhir ini banyak pula kontroversi yang dikaitkan dengan beliau.

Antaranya, usul yang beliau kemukakan pada kerajaan agar artis diberi keizinan untuk memasang cermin gelap hingga menimbulkan kontroversi itu.

Kemudian kecoh pula usulnya yang meminta kerajaan menimbangkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada artis. Rupa-rupanya beliau tersalah cakap, Zed akhirnya menjelaskan yang dimaksudkan beliau adalah Projek Perumahan 1 Malaysia (PRIMA).

Terbaru, ketuanya sendiri yang juga Presiden SENIMAN, Harun Salim Bachik ‘menghentamnya’.

Zed Zaidi dikatakan membelakangkan dan tidak berbincang mengenai sesuatu perkara dengan Harun sebelum ia diketengahkan hingga menimbulkan situasi tegang di antara kedua-dua mereka.

Apapun, penulis percaya Zed Zaidi mempunyai bakat kepimpinan dan sayangkan industri ini.

Cuma bila dah jadi ‘orang penting’ ni, apa yang hendak dicakap, apa yang hendak di’tweet’, hendaklah dijaga dan dikawal terlebih dahulu kerana silap cara, diri sendiri pula yang mendapat bahananya. Wallahualam. - Oleh SYAHRIL A. KADIR

nRelate - Posts Only

LinkWithin